Doktor Kongsi Kisah Seram Diganggu Mainan Anak Dalam Rumah


Anak atau adik kau orang ada banyak anak patung atau binatang mainan tak di rumah? Kalau ada, baca cerita ni, supaya tak kena “gangguan” macam aku kena.

Suatu malam, dalam jam 2 pagi, tekak aku haus bukan main. Jadi aku pun turun ke dapur. Masa aku nak teguk air, aku terdengar bunyi macam ada orang hempaskan punggung atas sofa di ruang tamu. Terus terbantut aku nak minum. Aku letak gelas dan pergi tinjau ruang tamu.

Ruang tamu gelap. Nak buka lampu ruang tamu, malas. Suisnya di belah depan. Jadi harapkan remang cahaya dari lampu dapur sahaja. Nampak tiada sesiapa di sana. Maka, aku pun ke dapur semula untuk minum. Masa aku teguk air, tiba-tiba terdengar budak kecil gelak di ruang tamu.

“Auni?” aku panggil nama anak aku sambil melangkah ke ruang tamu. Tak nampak ada sesiapa di sana, tapi kali ni aku tak mudah puas hati. Manalah tahu anak aku main sorok-sorok. Aku jalan merentasi ruang tamu yang gelap tu untuk ke suis lampu. Klik!

Cahaya menerangi ruang tamu. Silau, jadi aku kerutkan dahi dan sepetkan mata. Dalam Terkebil-kebil tu aku periksalah belakang sofa, sebalik kabinet TV. Sebalik langsir. PEH! Berhenti jantung aku sedetik bila nampak apa ada belakang langsir!

Boleh pula ada anak aku punya ular mainan belakang langsir ni. Dah la aku fobia dengan ular. Hish! buat terkejut je! Ni mesti kerja anak aku yang berumur 3 tahun tu. Geram punya pasal, aku sepak ular plastik tu sampai terpelanting ia ke tepi kabinet TV.

Lepas tu aku sambung tinjau-tinjau lagi. Tak ada apa-apa yang mencurigakan. Jadi aku tutup semula lampu ruang tamu dan jalan naik balik ke bilik. Masa naik tangga, aku dengar lagi suara budak gelak di ruang tamu.

Bila aku toleh ke belakang dan nampak apa yang ada di bawah, jantung aku aku macam nak meletup! Kaki aku lemah, tapi aku kuatkan juga semangat dan lari naik ke atas. Aku masuk bilik, tengok anak bini aku ada atas katil. Habis, siapa letak benda alah tu di situ?

Ke aku salah tengok? Khayalan aku je agaknya. Sebab tak puas hati, aku pergi balik tangga untuk periksa! Ternyata benda tu ada di situ. Meremang bulu roma aku. Aku ambil gambar untuk sahkan bukan mata aku yang salah. (gambar di bawah)

Aku beli benda alah bouncy hopper ni untuk anak aku, sebab katanya ia bagus untuk train vestibular function budak kecil. Kira penting untuk latih keseimbangan dia orang. Lagi pun anak aku memang suka sangat pada binatang.

Masa aku kata aku bawa balik mainan, anak aku teruja sangat, tapi bila aku keluarkan kuda ni dari kotak, dia terus menangis ketakutan. Tak sangka pula dia akan takut macam tu sekali. Mungkin sebab warna kuda ni merah. Selalu dalam buku, kuda kan warna coklat atau putih.

Oleh kerana anak aku tak suka, kuda ni aku letak di tepi kabinet TV. Aku letak dekat anak aku selalu main di kawasan depan TV tu. Mana tahu satu hari dia hilang rasa takut dan nak cuba tunggang, senang dia nak ambil.

Malangnya lepas seminggu, dia masih tak sentuh pun kuda yang aku beli untuk dia tu. Kuda tu jadi tukun je di sebelah TV. Jadi macam barang perhiasan. Di mana aku letak benda tu sebelum ni, kat situlah benda tu lepas seminggu. Tak berganjak langsung.

Malah, masa aku sepak ular plastik anak aku ke tepi kabinet TV, aku perasan kuda tu masih di situ. Sekarang, macam mana boleh ada di depan tangga pula? Siapa alihkan? Mana ada orang di tingkat bawah.

Itu insiden pertama. Selepas itu, ada lagi benda aneh berlaku. Kali ini lebih menakutkan. Aku tengah tidur. Telefon aku bergetar bertalu-talu, lantas buat aku terjaga. Masa toleh ke sisi untuk capai telefon aku dari atas meja lampu tidur, aku tersentak.

Kuda merah tu atas meja lampu tidur. Mukanya betul-betul menghadap muka aku, dan disinari lampu skrin telefon aku yang berada di atas lantai. Mata dia yang terjegil tu buat aku tak boleh tidur aku sampai pagi. Aku tak rasa anak aku yang letak situ. Dia pun takut dengan kuda tu.

Esoknya, aku humban kuda tu dalam stor bawah tangga. Kunci. Setelah itu, tiada gangguan yang ketara. Cuma aku masih rasa tak selesa bila berada di rumah. Rasa serba tak kena. Jadi, suatu hari tu, aku beritahu kawan aku. Dia beri nasihat, yang berjaya selesaikan masalah aku.

“Kamarul, apa-apa patung, jangan sesekali kita simpan jika kita tak guna dia sebagai permainan. Jangan letak patung di tempat tinggi. Jangan simpan dalam kotak atau almari berkaca. Jika tidak, kita dianggap puja patung tu, dan patung yang dipuja akan dihuni makhluk halus.”

“Jangan muliakannya. Biar ia kotor. Biar dia ada cela. Kalau tak mahu main, sedekahnya kepada yang nak main. Lagipun itulah tujuan ia dicipta, untuk dimain” “Oh ya! Jangan sesekali kita takut pada mainan. Nanti syaitan akan ambil kesempatan untuk memesongkan dan melemahkan iman kita.”

Balik rumah aku keluarkan kuda merah tu aku dari stor dan belasah dia cukup-cukup. Aku ajak anak aku main sepak-sepak kuda tu. Lepas tu aku ambil marker, suruh anak aku conteng. Anak aku jadi seronok pula. Patung-patung mainan yang tak anak aku dah tak main, aku sedekahkan.

Semenjak tu, rumah aku tenteram. Tak ada lagi gangguan. Kuda merah tu masih ada dalam rumah aku. Cuma dah comot, hitam-hitam, dan muka dan badannya ada conteng-conteng. Anak aku pun dah tak takut dengan kuda tu. Dah jadi bahan belasahan dia.

Jadi, pesanlah pada semua—Mainan adalah untuk dimain, jangan simpan sebagai perhiasan.

SUMBER: Sirap LimauKamarul Ariffin Nor Sadan
Iklan Atas Artikel
Iklan Tengah Artikel 1
Iklan Tengah Artikel 2
Iklan Bawah Artikel