43 Jenis Ikatan Tanjak, Destar dan Tengkolok di Malaysia
2024-08-03T23:47:30Z
Tanjak, destar dan tengkolok adalah busana warisan Melayu yang telah diwarisi sejak zaman dahulu lagi. Secara lazimnya ia diperbuat dari sehelai kain dan digubah menjadi sebuah bentuk untuk disarungkan ke atas kepala. Tengkolok lebih sinonim dengan pakaian rasmi raja dan pembesar Melayu pada zaman dahulu dan dipakai semasa majlis adat istiadat bangsa Melayu.
Manakala tanjak pula dipakai oleh golongan kebiasaan dan ia adalah pakaian harian bangsa Melayu pada zaman dahulu untuk kelihatan kemas dan bergaya. Destar pula biasa dipakai oleh buruh, petani, pesawah untuk menutup kepala mereka dari panas terik semasa bekerja.
Berikut saya kongsikan kepada anda, jenis-jenis ikatan Tanjak, Destar, Tengkolok di setiap negeri di Malaysia.
1. Terengganu
Tanjak Lang Melayang
Destar ini dipakai oleh pembesar-pembesar Negeri Terengganu yang bergelar Datuk. Destar ini terkenal sebagai solek Lang Melayang dan hanya dipakai pada majlis tertentu sahaja.
Tanjak Laksamana Terengganu
Destar yang di perbuat daripada kain songket berwarna hitam berbenang emas ini berasal dari Terengganu. Pada mas dahulu, ia menjadi pakaian hulu rasmi Laksamana Terengganu. Warna rasminya adalah biru yang melambangkan laut selaras dengan tanggungjawab Laksamana mengawal laut. Pada masa sekarang ikatan jenis ini dipakai oleh Menteri Besar Terengganu sebagai pakaian rasmi di majlis adat istiadat di istana Terengganu.
Destar Datuk Bija Di Raja
Orang Besar Lapan Negeri Terengganu memakai destar yang digelar ikat lilit Datuk Bija Diraja. Kain yang digunakan berwarna hitam dan perak.
Tanjak Temalong Budu
Destar jenis ini biasanya dipakai oleh pegawai-pegawai kerajaan pangkat rendah dan orang biasa di Negeri Terenganu apabila mengadap D.Y.M.M. Sultan Terengganu untuk menerima anugerah pingat atau kurniaan negeri.
Tanjak Dagang Sakit Di Rantau
Ada juga Datuk-datuk di Negeri Terengganu yang memakai destar yang diberi nama Dagang Sakit Di Rantau berwarna kelabu dan perak.
2. Perlis
Tengkolok Putera Kayangan
Destar ini pernah dipakai oleh Al-Marhum D.Y.M.M. Tunku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullai, Raja Perlis pada tahun 1957 sewaktu menandatangani pengistiharaan kemerdekaan Tanah Melayu. Seperti destar diraja yang lain warna natarnya adalah kuning diraja. Lipatan asasnya sebanyak tiga lipatan dan daun destarnya pula menghala ke atas.
3. Selangor
Tanjak Sebang Selat
Ikatan jenis ini pernah dipakai oleh pembesar Negeri Selangor pada tahun 1950-an hingga 1960-an.
Tanjak Pari Mudik
Terdapat beberapa jenis destar yang digunakan oleh Orang-orang Besar Negeri pada suatu ketika dahulu. Setanjak Pari Mudik misalnya dipakai oleh Dato' Abu Bakar Baginda, mantan Menteri Besar Selangor ke-7 (1959-1964). Kedua-dua pucuk sirih destar ini meletakkan disebelah telinga kiri pemakai.
Tanjak Lang Patah Sayap
Destra khas ini adalah pakaian hulu rasmi Y.A.M. Panglima Diraja Selangor. Ia diperbuat daripada songket berwarna merah, iaitu warna yang melambangkan kuasa, kegagahan dan kepahlawanan panglima Melayu. Reka bentuk destar ini walaupun nampak ringkas, namun kedudukan pucuk destar yang dipanggil pucuk sirih diletakkan disebelah kanan manakala daun tajuknya pula disebelah kiri. Ini menunjukkan pemakainya adalah daripada kerabat Diraja.
4. Perak
Tanjak Pucuk Pisang Patah
Tengkolok jenis ini pernah dipakai oleh salah seorang sultan di Negeri Perak, Kedudukan pucuk rebungnya agak terjuntai ke bawah, seolah-olah melambangkan pucuk pisang yang patah.
Destar Patah Kepak
Destar yang bernama Patah Kepak ini adalah bulang hulu bagi D.Y.T.M Raja Muda Perak. Warna latarnya kuning dan kuning kencana. Biasanya pakaian sampingan yang lain seperti baju, samp[ing, seluar dan bengkung mempunyai warna yang sama dengan destar. Destar ini pernah dipakai oleh Al-Marhum Sultan Iskandar.
Tengkolok Mumbang Belah Dua
Tengkolok ini pernah dipakai oleh al-Marhum Sulatn Abdul Aziz, Perak pada suatu dahulu. Ia berasaskan solek Belah Mumbang.
Destar Lang Sioh
Y.A.M. Raja Kecil Sulung adalah termasuk Empat Raja Bergelar di Negeri Perak Destar yang dipakainya dipangguil Lang Sioh. Ungu tua ialah warna latarnya dengan bunga berwarna perak. Demikian juga warna latar pakaianya dengan bunga-bunga perak.
Destar Lang Menyonsong Angin
Destar Lang Menyongsong Angin adalah satu reka bentuk yang amat unik yang mengambarkan seekor helang yang sedang terbang melawan angin. Bentuk tengkolok ini yang diperbuat dengan songket berwarnma hitam bersulam benang perak pernah dipakai oleh D.Y.T.M. Raja Di Hilir Perak.
Destar Getam Pekasam
Di Negeri Perak, destar jenis ini dipakai oleh Orang Besar Empat dan pegawai-pegawai kanan istana. Juak-juak di Negeri Selangor dan Pahang juga memakai tengkolok jenis yang sama.
Destar Balung Ayam
Destar Balung Ayam dengan warna natarnya putih bersulam benang kuning kencana ini pernah di pakai oleh D.Y.M.M. Sultan Perak pada tahun 1950-an.
Destar Ayam Patah Kepak
Destar Ayam Patah Kepak yang diperbuat daripada songket bunga penuh berwarna merah adalah pakaian Panglima Perang bagi Negeri Perak.
Tengkolok Alang Iskandar
Ikatan hulu jenis ini merupakan antara tengkolok yang dan sering dipakai oleh Al-Marhum Sultan Alang Iskandar, Negeri Perak sewaktu pemerintahan baginda.
5. Pahang
Tanjak Sekelongsong Bunga
Ikatan hulu jenis ini di pakai oelh kerabat di-Raja dan Orang besar Empat Negeri Pahang. Walaupun bentuknya ini agak ringkas dan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah sekelongsong bunga, tetapi terdapat perbezaan antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil sula.
Destar Raja Naik Bersiram
Destar yang diperbuat daripada kain songket berwarna putih ini diberi nama Raja Naik bersiram. Ia dipakai sebaik sahaja raja berangkat naik daripada istiadat bersiram, sama ada sesudah selesai istiadat perkahwinan diraja ataupun pertabalan. Ia nandakan raja selamat bersiram. Destar jenis ini hanya dipakai oleh raja yang memerintah. Putera atau cucunda baginda tidak boleh memakai destar jenis ini. bentuk daunnya melonjong kehadapan dan memakai dua pucuk destar yang disebut gading.
Destar Getam Budu
Destar ini adalah pakaian hulu untuk Orang-Orang Besar di istana Negeri Pahang pada satu masa dahulu. Bentuk destar ini menutup seluruh bahagian kepada pemakai yang membawa maksud makna menyimpan segala rahsia raja. Warna hijau adalah warna yang dikhaskan untuk Datu-Datuk dan Orang-Orang Besar Bergelar.
Destar Cogan Daun Kopi
Cogan Daun Kopi ialah nama khas bagi bentuk destar yang dipakai oleh D.Y.M.M. Sultan Pahang. Warna rasminya adalah kuning muda tetapi baginda selalunya memakai warna-warna latar yang gelap. Bentuk destar Pahang mudah dikenali daripada bentuknya yang segi tiga dan diikat secara menegak di atas dahi dan membiarkan bahagian kepala yang lain terdedah. Selain itu reka bentuk bunga atau daun itu terletak disebelah depan destar tersebut.
6. Negeri Sembilan
Tanjak Kacang Sehelai Daun
Y.A.M. Undang Rembau ke -20, Allahyarham Datuk Haji Adnan bin Haji Maah yang memerintah dari tahun 1963-1998 adalah waris Seia Raja, Kampung Bukit yang pernah memakai destar jenis ini manakala warna kegemaranya adalah hijau. Penciptaan idea destar ini berdasarkan daun kacang yang melambangkan kesuburan dan kesatuan.
Destar Sarang Kerengga
Destar ini agak berbeza dengan bentuk Dendam Tak Sudah. Destar unik yang amat menarik ini menggunakan lima lipatan yang disebut takuk dan daun lambaian kasihny tergantung seperti sarang kerengga di sebelah kanan pemakainya. Destar jenis ini pernah dipakai dalam majlis adat istiadat diraja oleh al-Marhum Tunku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (1898-1933)
Destar Kacang Dua Daun
Destar jenis ini pernah dipakai oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada awal tahun 1950-an. Ia diilhamkan daripada daun kacang yang subur.
Destar Helang Menyambar
Destar ini merupakan pakaian hulu untuk Datuk-Datuk Lembaga Adat di Luak Rembau pada zaman dahulu. Pada sekitar 1950-an, destar jenis ini juga pakaian hulu yang popular kepada pengantin lelaki. Biasanya warna merah bersulam benang emas menjadi pilihan mereka.
Destar Dendam Tak Sudah
Destar Dendam Tak Sudah yang berwarna ungu dengan lipatan lima takuk ini merupakan ikat kepala yang dikhaskan penggunannya kepada Undang atau Penghulu Luak di Negeri Sembilan.
Destar Dendam Tak Sudah
Destar ini banyak dipakai oleh masyarakat di situ. Ikatan asas destar ini adalah sama, hanya perbezaan pada arah lambaian kasih dan bilangan takuknya. Destar ini yang mempunyai tiga lipatan takuk merupakan destar yang dipakai oleh Datuk-Datuk Adat di Negeri Sembilan dan corak kakinya beragi atau berpetak dan lazimnya warna natarnya adalah hitam.
Destar Dendam Berahi
Destar Dendam Berahi yang diperbuat daripada kain songket berwarna biru laut bersulam benang perak adalah salah satu yang dipakai oleh Undang Luak di Negeri Sembilan pada suatu ketika dahulu. Destar jenis ini mudah dekenali kerana ciri bentuk lambaian kasihnya yang sama lebarnya dan menebal selari tepat pada bahagian hadapan pemakainya.
7. Kelantan
Destar Setangan Isih
Kelantan Darul Naim adalah sebuah negeri yang kaya dengan budaya termasuk seni lipatan destar yang dinamakan Setangan Isih dan banyak dipakai oleh rakyat biasa dan juga dalam persembahan Mak Yong. Iaitu sejenis persembahan tradisional merangkum penceritaan, nyanyian dan tarian.
Destar Ketam Budu
Destar ini digunakan oleh pembesar Negeri Kelantan. Warna destarnya hitam dengan bersulam benang emas. Destar ini dan destar lain seperti Destar Panglima Raja dan Paduka Raja menutupi seluruh bahagian kepala.
Destar Ketam Budu
Ikatan jenis ini adalah asas kepada semua jenis ikatan destar di Alam Melayu sejak beratus tahun dahulu. bentuknya berupa layar sebuah perahu masyarakat melayu.
Destar Bulang Hulu
Setiap perguruan silat mempunyai ciri-ciri perbezaan dari sudut ikatan kepala. Bulang Hulu merupakan salah satu ikatan destar yang kerap dipakai oleh pesilat di Negeri Kelantan. Bentuk asasnya amat ringkas dan bersesuaian dengan kelincahan dan ketangkasan pesilat.
Destar Sudu Itik
Destar jenis ini lazimnya dipakai oleh perguruan silat. Ia popular sewaktu zaman pemerintahan Sultan Tajuddin di Kedah. Adalah difahamkan, jenis destar jenis ini diadaptasikan daripada ikat kepala masyarakat Jawa sewaktu lawatan Baginda ke sana.
8. Sabah
Destar Siga
Negeri Sabah yang terkenal dengan pelbagai kumpulan etnik pribumi dengan seni budaya yang amat unik, antaranya seni ikatan kepala yang diguna pakai oleh suku kaum kadazan di Penampang daripada kain tenunan. Ikat kepala ini dikenali panggilan Siga
9. Johor
Destar Belah Mumbang
Ikatan jenis ini adalah asa kepada semua jenis ikatan destar Alam melayu sejak beratusan dahulu. Bentuknya berupa layar sebuah perahu masyarakat Melayu.,
Tanjak Laksamana Johor-Riau
Tanjak ini adalah pakaian Laksamana pada zaman dahulu dan berasaskan kepada destar Belah Mumbang. Sebagai pegawai yang bertanggungjawab di laut, maka songket berwarna biru berbenang perak digunakan. Tanjak ini mempunyai tiga lipatan berombak-ombak pada bahagian hadapan manakala bahagian asasnya terdapat tiga lipatan daun sirih.
Destar Lubang Layar
Lubang Layar merupakan destar yang dipakai oleh anak-anak raja atau datuk-datuk di Negeri Johor pada masa dahulu. Bentuk destar ini menirus ke atas dan ia diasaskan daripada solek Mumbang Belah. Di bahagian pucunknya terbentuk dua daun yang trerbuka yang melambangkan kain layar sebuah perahu sedang mengembang.
Tanjak Tebing Laksamana
Tebing Laksamana sesuai dengan namanya, adalah pakaian rasmi bagi jawatan Laksamana sejak zaman Empayer Melayu Melaka lagi. Ikatan destar ini berasal dari zaman pemerintah Johor-Riau. Bahagian depan destar mempunyai tiga lipatan berombak yang amat menarik.
Tanjak Tebing Runtuh
Ikatan jenis ini adalah pakaian hulu anak-anak raja pada masa lampau di Johor. Mempunyai lipatan tiga tingkat yang dikenali sebagai lipatan susun sirih dan daun tajuknya melambai kesebelah kanan.
10. Kedah
Destar Laksamana Kedah
Destar berwarna hitam daripada kain songket dengan ikatan asas susun sirih ini adalah contoh ikatan Negeri Kedah Darul Aman yang dipakai oleh laksamana. Bentuknya yang unik dengan segagah namanya adalah pakaian hulu kerabat diraja Kedah pada masa dahulu. Sekali imbas ia seakan-akan ikatan Dendam Tak Sudah, namun jika diteliti dengan rapi perbezaannya, daunnya dinaikkan ke atas, manakala dua pucuk yang disebut kuasa, berkedudukan sebelah menyebelah di bahagian kiri pemakai
Destar Temenggong Kedah
Ikatan destar ini dipakai oleh kerabat diraja Negeri Kedah. Pasa masa sekarang ikatan yang sama dipakai oleh golongan bukan istana dengan daun kuasa terletak di sebelah kiri
11. Sarawak
Tanjak Budis Tak Balik
Terdapat sejenis ikatan yang dikenali dengan nama Bugis Tak Balik banyak dipakai pada masa dahulu di neger-negeri yang mempunyai pengaruh Bugis seperti Terengganu, Johor, Selangor dan Perak. Destar berwarna merah ini merupakan ikatan hulu masyarakat Bugis di Sarawak.
Itulah senarai jenis ikatan tanjak, destar dan tengkolok di setiap negeri di Malaysia. Diharap perkongsian ini bermanfaat kepada anda. Sekian.
Sumber: Saudagar Tekua