Maksud Warna Baju Banduan Di Malaysia
2024-08-02T04:01:16Z
Dalam sistem penjara di Malaysia, baju banduan adalah salah satu elemen penting yang digunakan untuk membezakan antara penghuni penjara dengan pengunjung atau pekerja penjara.
Setiap warna baju banduan mempunyai maksud dan simbolik yang tersendiri, dan ia adalah penting untuk difahami oleh orang awam yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang sistem penjara di negara ini.
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan lebih lanjut mengenai maksud dan simbolik warna baju banduan di Malaysia. Saya akan memulakan dengan senarai warna baju banduan yang digunakan di Malaysia, diikuti dengan penjelasan mengenai maksud dan simbolik setiap warna.
Maksud Warna Baju Banduan
Berikut merupakan maksud disebalik warna baju banduan di negara kita Malaysia.
1. Baju Banduan Warna Ungu
Baju ungu adalah untuk tahanan reman. Orang Kena Tuduh (OKT) yang sedang menjalani proses perbicaraan mahkamah. Selagi hukuman tidak diputuskan, mereka akan kekal direman kecuali jika dijamin. Ada juga penghuni yang tiada peruntukan jaminan atas pendakwaan kes-kes yang berat dimahkamah.
2. Baju Banduan Warna Putih
Baju dan seluar putih diperuntukkan kepada banduan yang menjalani hukuman singkat dibawah tempoh 6 bulan atas pelbagai kesalahan yang disabitkan oleh mahkamah. Mereka perlu mengikuti program kesedaran dan pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia sebelum dibebaskan.
3. Baju Banduan Warna Merah
Bagi penghuni penjara yang menjalani hukuman lama (6 bulan ke atas), merah adalah warna baju peringkat pertama. Ia juga disebut peringkat ‘kolar merah’. Mereka perlu memakainya selama tempoh 3 bulan dan mengikuti program pemulihan yang dinamakan Program Permodalan Insan (PPI). Ia bermula dengan Fasa Orientasi dan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum ke Fasa yang seterusnya.
4. Baju Banduan Warna Hijau
'Kolar hijau' adalah peringkat kedua yang akan dipakai selepas 3 bulan sehingga 18 bulan (1 tahun, 6 bulan) menghuni penjara. Kebanyakan mereka menjalani program (PPI) Fasa 2. Ia adalah Fasa Pengukuhan Sahsiah yang mengandungi 2 bahagian pembelajaran dinamakan ‘Halaqah’ untuk agama dan ‘Therapeutic Community’ untuk terapi kemasyarakatan.
5. Baju Banduan Warna Biru
Peringkat ‘kolar biru’ pula adalah mereka yang telah menghuni lebih 18 bulan. Dikalangan ‘kolar biru’ ini adalah mereka yang menjalani hukuman lama termasuk ‘banduan seumur hidup’ dan ‘banduan hayat’. Mereka telah menghabiskan fasa pembelajaran PPI dan layak untuk bekerja di bengkel-bengkel yang disediakan di dalam penjara.
6. Baju Banduan Warna Hijau Florescent
Peringkat ‘hijau terang’ atau ‘hijau florescent’ merujuk kepada banduan ‘Pra-Bebas’. Mereka asalnya memakai baju merah, hijau atau biru. Mereka terdiri daripada penghuni yang mempunyai baki hukuman kurang 3 bulan sebelum dibebaskan dan dipilih bekerja di kawasan luar persekitaran penjara dibawah seliaan pegawai penjara. Banduan yang bekerja dibawah Program Pemulihan Pemasyarakatan juga memakai warna baju yang sama.
7. Baju Banduan Warna Putih Dengan Kolar Dan Lengan Merah
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa peringkat baju ini amat digeruni semua. Mereka yang memakainya dikategorikan sebagai ‘banduan akhir’ (BA). Mereka adalah penghuni yang sedang dalam proses sama ada untuk menjalani hukuman gantung atau menunggu keputusan rayuan Mahkamah Agong agar dikurangkan ‘hukuman mati’ kepada ‘hukuman hayat’.
8. Baju Banduan Warna Oren
Belum dikategori banduan. Ia baju lokap polis dan masih dibawah tahanan polis sepenuhnya. (OKT).
Baca juga: Cara Semakan Saman Polis Trafik dan JPJ
Itulah maksud disebalik warna baju banduan di Malaysia. Semoga artikel ini dapat memberikan pemahaman yang lebih baik tentang sistem penjara di Malaysia dan membantu memecahkan beberapa misteri mengenai warna baju banduan yang sering dilihat dalam filem dan drama-drama tempatan. Sekian.