Petua Hilangkan Gegata Dengan Cepat
2024-08-04T23:08:39Z
Memang tidak selesa kalau kita mengalami masalah gegata. Jadi sekiranya anda sedang mengalami masalah ini, mungkin anda boleh menggunakan beberapa petua hilangkan gegata ini.
Masalah gegata pada badan boleh terjadi pada sesiapa sahaja, tidak kira umur, atau jantina.
Terdapat 2 jenis gegata iaitu:
- Gegata akut - Biasanya berlaku pada bayi dan kanak-kanak (dan juga orang dewasa). Ini berlaku apabila mereka mendapat jangkitan virus atau mempunyai alahan makanan seperti susu lembu, telur dan kacang tanah.
- Gegata kronik - Lebih enam minggu. Ini boleh berlaku dengan sendiri (tiada pencetus) dan juga disebabkan oleh alahan kepada cuaca panas atau sejuk, tekanan pada kulit, makanan atau ubat (termasuk ubat tradisional).
Adalah lebih baik untuk mengenal pasti punca gegata sebelum mempelajari cara menghilangkan gegata dari badan.
Punca Gegata
Urticaria, juga dikenali sebagai gegata, adalah ruam yang sangat gatal, perit, dan bengkak (pelbagai saiz) yang muncul secara tiba-tiba di mana-mana bahagian badan.
Gegata berlaku apabila bahan kimia dalam badan kita dipanggil histamin dilepaskan ke dalam aliran darah. Histamin menyebabkan saluran darah mengembang dan tisu di bawah kulit membengkak. Akibatnya, kulit menjadi kemerahan dan gatal.
Di samping itu, gegata juga disebabkan oleh alahan. Contohnya, alahan kepada ubat-ubatan, terutamanya ubat penahan sakit dan antibiotik.
Gegata juga boleh berlaku disebabkan oleh alahan makanan, terutamanya kekacang, makanan laut (terutamanya udang), dan telur. Gegata juga boleh disebabkan oleh gigitan atau sengatan serangga.
Petua Hilangkan Gegata
1. Garam
Anda boleh guna apa-apa jenis garam seperti garam makan, garam kasar, garam bukit, garam laut, atau garam Epsom.
Caranya mudah sahaja iaitu, campurkan segenggam garam ke dalam separuh baldi air. Kemudian, campuran air garam dijadikan sebagai bilasan terakhir setiap kali mandi. Anda boleh amalkan sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Kaedah seterusnya ialah anda juga boleh menggunakan secubit garam dan campurkan pada setengah gelas air. Kacau sehingga larut dan sapukan pada kulit yang gatal.
2. Kunyit
Seterusnya, anda juga boleh menggunakan kunyit untuk menghilangkan masalah gegata dengan berkesan iaitu dengan cara, ambil dalam seinci kunyit (termasuk kulit). Selepas itu, tumbuk sehingga lumat dan hancur. Pastikan anda menggunakan lesung batu yang bersih. Kemudian, sapu di tempat yang gatal atau terkena gegata.
3. Cuka Epal
Anda disarankan menggunakan cuka epal yang tidak ditapis, tulen atau dengan kata lain tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain.
Caranya adalah dengan mencampurkan 1 penutup cuka epal dengan 1 gayung air suam. Kemudian gunakan campuran ini sebagai bilasan terakhir semasa mandi. Tak perlu bilas dengan air biasa.
Kaedah seterusnya ialah sapukan campuran air tersebut pada kulit yang gatal dan biarkan ia kering dengan sendirinya.
4. Bedak Sejuk
Caranya ialah, ambil sesudu bedak sejuk dan sesudu garam. Campurkan sedikit air ke dalam badak sejuk dan garam. Pastikan bancuhan bedak sejuk, garam dan air sesuai, tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair supaya melekat pada kulit. Seterusnya, sapukan pada kulit yang gatal.
5. Lengkuas
Lengkuas adalah kaedah dan petua lain untuk menghilangkan gegata. Caranya ialah bersihkan lengkuas dahulu, kemudian potong lengkuas yang telah dibersihkan. Pada permukaan lengkuas yang dipotong, kelaskan atau buat jalur dengan pisau. Sapukan lengkuas pada bahagian yang gatal.
Jika air lengkuas telah kering dan tidak lagi mencukupi untuk disapu pada bahagian badan yang lain, potong dan kelas lengkuas itu semula dan sapu pada bahagian yang gatal.
6. Tepung Beras
Anda boleh menggunakan apa sahaja jenama tepung beras. Caranya ialah, campurkan tepung beras dengan sedikit air. Uli dan kepal tepung sehinggalah menjadi doh. Golekkan tepung beras pada kulit yang terkena gegata.
7. Bawang Merah
Gegata juga boleh dihilangkan dengan bawang merah. Caranya mudah sahaja iaitu, kupas dan tumbuk bawang merah sehingga lembut, kemudian sapukan ke seluruh badan yang terkena gegata.
Kesimpulannya, itulah beberapa cara hilangkan gegata dengan cepat yang anda boleh cuba ikut. Diharap perkongsian ini bermanfaat dan dapat membantu anda menyelesaikan masalah anda. Sekian.